Saturday, November 7, 2009

solat & study


Bismillahirrahmanirrahim...


Mari mulakan hari ini dengan lebih baik. Betul dan luruskan niat. Tegakkan saf. Tenteramkan hati. Fokus.

Macam solat kan? sebab study itu ibadah juga.


Kemudian kita berusaha berjihad daripada segala distractions yang ada untuk khusyu'. Seni solat itu, kalau kita betul-betul amalkan, boleh diaplikasikan dalam study. Kalau solat, kita niat lillahitaala, dan mahu sembahkan yang terbaik untukNya. Kalau study pun serupa, study sungguh-sungguh lillahitaala, mahu sembahkan usaha yg terbaik kepadaNya. Keputusan tu tolak tepi dulu. Dakwah pun begitu. Kerja pun begitu. Sebab Tuhan tu Maha Sempurna dan sukakan kesempurnaan. Segala amalan yang bersih, sungguh-sungguh dan ikhlas, sudah tentu sangat disukaiNya. Kita mungkin tak mampu untuk menjadikan amalan kita sesempurna yang boleh, tetapi kita MAMPU untuk BERUSAHA ke arah kesempurnaan itu kan?

Performance yang cemerlang hanya dan hanya akan terlaksana dengan amanah, jujur, ikhlas dan mempunyai matlamat yang jelas. Performance solat yang cemerlang, akan memberi impak yang sangat hebat kepada hidup kita sebenarnya kan? Seharusnya begitulah. Jadi, kalau dengan solat kita boleh khusyu', dengan study apatah lagi kan?

Dengan kata lain, semua perkara dalam Islam ni sebenarnya bermula dari solat kan. Kalau kita betul-betul hayati dan praktikkan. Kalau kita betul-betul sayang dan pelihara solat kita. Ya, sayang solat kita. Sebab, kalau kita jaga Allah sewaktu senang, Allah akan jaga dan pelihara kita di waktu susah kelak. Pemeliharaan yang terhebat adalah kekuatan hati yang diberikanNya untuk kita lalui saat kesusahan itu sendiri. Indah kan? Sayangnya, cintanya Dia pada kita kan?


"And whoever desires the Hereafter and strives for it, with the necessary effort due for it while he is a believer - then such are the ones whose striving shall be appreciated; on each these as well as those We bestow from the Bounties of your Lord. And the Bounties of your Lord can never be forbidden. [al-Isra' 17:19-20]


Ya Allah, moga-moga hari ni, jauh, jauh lebih baik dari semalam. ameen.


Allahua'lam

Saturday, October 10, 2009

kelopak-kelopak bunga yang dikutip



Bismillahirrahmanirrahim…




Esok hari terakhir cuti musim bunga. Meninggalkan kenangan bercuti, tak lupa lambakan kerja dan study revision yang menanti untuk dihabiskan. And again, exam is really around the corner. The best time to exercise my faith. That is the only thing that I like about exam.


Cuti musim bunga kali ini, secara pukul rata agak sibuk dengan program, ditambah dengan usaha untuk catch up studies. Nikmat kesihatan juga ditarik seketika, jadi banyak masa habis untuk recover, catch up and retreat soul. Oleh itu, post ini khas untuk refleksi balik apa yang saya lalui dan cebisan ilmu yang dapat saya kutip seadanya.


1. Program K&J


Stands for Katibah & Jaulah, ataupun Knowledge & Joy. Jazakumullahu khair buat umi-umi SIT (sisters Islamic talk aka usrah) yang berpenat lelah melayan kami yang konon-konon matang tapi comel dan innocent :P

Cerita tentang Jaulah dulu. Kali ni kami ke Coffs Harbour, lebih kurang lima jam perjalanan dari Newcastle. Dan kami jugalah yang menguruskan hal masak, pengisian, transport dan penginapan. Saya terlibat sebagai AJK masakan dan driver. Dengan keadaan kesihatan yang kurang baik, memang rasa sangat penat. Tapi Alhamdulillah semua AJK masakan memahami, minta maaf sangat tak dapat beri komitmen terbaik. Terima kasih di atas kerjasama, bantuan, cadangan dan semuanyalah.

Tapi betul sangat-sangat, bila berjalan bersama barulah kita kenal hati budi seseorang itu. Saya mempunyai kelemahan yang banyak dan sangat perlukan teguran sahabat semua. Alhamdulillah teguran datang secara direct dan indirect. Jaulah kali ini saya belajar untuk buat apa yang termampu, dan berusaha untuk lebih banyak buat dari bercakap (sekadar mampu saya-lah, saya tahu masih tak perfect lagi). Banyak lagi perlu belajar dan tarbiyah diri ini untuk buat lebih banyak lagi daripada bising je lebih. Belajar untuk menerima dan tak lari dari tanggungjawab walaupun sakit dan penat. Belajar untuk menerima pendapat orang lain yang lebih baik.


Subhanallah, cantik sangat ketika menikmati sun rising di Muttonbird Island, di kelilingi lautan yang luas. Teringat-ingat ayat cinta Tuhan yang berulang-ulang dalam surah Ar-Rahman, ‘Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?’ Subhanallah ^^

Terfikir, betapa hebat dan indahnya ciptaan Tuhan, tapi masih ada manusia yang enggan mengakui adanya Tuhan yang mentadbir alam ini. Betapa jengkel dan sempitnya pemikiran seperti itu. Begitulah andai mata hati itu buta.

Kemudian kami ke Pot Porpoise Pool, have been kissed by dolphin and sea lion. After that ada persembahan dolphin & sea lion. Bijaknya si ikan lumba-lumba ni. Tapi saya terfikir, betapa mudahnya untuk mengajar makhluk-makhluk ini untuk membuat persembahan asalkan diberi makan (reward). Adakah manusia juga begitu? Melakukan sesuatu kerana mengharapkan balasan? Adakah saya begitu? Apakah balasan dunia ataupun akhirat yang saya harapkan sebenarnya, dalam sedar tak sedar?

Cerita katibah berkisar tentang IPK. Sebab banyak kali dah dengar, saya agak ‘inattention’ juga sesekali tapi baguslah refresh balik apa yang pernah saya belajar dulu. Dan muhasabah balik, adakah betul isi bakul jahiliyah saya sudah dikosongkan sepenuhnya? Dan bila direnung kembali masa yang berlalu, telah banyak yang saya belajar tentang diri ini.

Semasa berada di Melbourne cuti musim sejuk yang lalu, seorang akhwat pernah mengadakan sesi soal jawab dengan saya. Bermacam-macam soalan cepu emas telah ditanya. Antaranya, kenapa saya memilih jalan ini? Apa yang membuatkan saya memilih untuk berada di sana dan bersusah payah datang jauh-jauh ketika itu? Juga ditanya, adakah titik tolak saya menceburkan diri dalam tarbiyah dan dakwah ini adalah dengan kewujudan program-program seperti ISK, IPK, Winter Gathering, Shahadatul Haq, Ijazah & Risalah, Usul 20, Majmu’ Rasail, usrah, perkumpulan dan yang seumpama dengannya.

Agak-agaknya, apa yang saya jawab ye?

Kesemua majlis ilmu itu cumalah pemangkin kepada keinginan saya untuk berada di jalan ini. Ia mempercepatkan kefahaman saya tentang apa yang perlu saya lakukan, di mana saya harus bermula, apa yang mampu saya lakukan, sejauh mana saya akan melangkah, apa matlamat sebenar dengan lebih jelas dan apa pengakhiran yang saya harapkan, sebagai seorang hamba Allah dan dalam masa yang sama sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.

Kesemua usaha dan majlis ilmu itu adalah faktor luaran semata-mata. Ia adalah teori untuk difahamkan. Dalam hidup saya, kesemuanya menyumbang kepada pembentukan fikrah saya, tetapi cuma sedikit sahaja menyumbang kepada sebab kenapa saya memilih jalan ini. Sangat sedikit.

Sebab sebenar adalah rahsia, tetapi hakikatnya faktor dalaman adalah punca utama saya bertekad untuk berada di jalan ini. Berilah saya seribu fakta sekalipun tentang Islam, jika ia kering daripada roh dan emosi yang boleh menyentuh hati, mungkin saya masih saya yang dahulu. Kemungkinan besar saya tidak berada di jalan ini dan memerhati dengan kaca mata yang berbeza.

Innamal a’malu binniat. Saya memang berniat untuk berada di jalan dakwah ini sebelum saya berada di sini lagi. Saya memang bertekad untuk mencari dan menggali walau sejauh mana saya perlu pergi, walau sebanyak mana saya perlu berkorban. Saya mengorbankan perasaan dan cinta saya kerana jalan ini. KeranaNya. Saya menyediakan diri semampu yang boleh untuk perjuangan ini, dan berusaha semampu yang boleh mencabut akar-akar jahiliyyah yang mencengkam kuat diri saya serta menyekat saya daripada jalan ini sejak sekian lama dahulu.

Saya merasakan terlalu banyak berhutang nikmat kepada Tuhan saya, dan saya merasakan tidak ada jalan untuk menebusnya melainkan menjual diri di jalan ini. Terlalu banyak dosa dan kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu, dan masih, terlalu banyak nikmat, kesempatan dan peluang yang telah diberikan olehNya kepada saya. Lalu, masakan saya masih mampu untuk berdolak-dalih, ragu-ragu serta bermain-main dengan apa yang diberikanNya kepada saya? Masakan saya layak untuk berkata tidak kepada Dia yang memenuhi segala apa yang saya pinta, memakbulkan segala apa yang saya mahu terutamanya tatkala kesempitan, kesusahan dan kelihatan tiada jalan keluar melainkan mengharapkan keajaiban daripada Tuhan yang Maha Kaya, Maha Agung?

Sungguh, tidak mahu saya menjadi manusia yang tidak tahu mengenang budi! Bersukaria di muka bumi melupakan tuntutan dan hak Allah sedangkan segala nikmat dan rezeki dicukupkan olehNya tanpa putus-putus.

Lalu, jalan ini yang saya pilih.

Mungkin, lain orang lain ceritanya. Hidayah Tuhan menyentuh manusia dari pelbagai angle, dengan cara yang berbeza-beza. Ada yang mudah menerima fakta, ada yang perlu disentuh dan diikat hatinya terlebih dahulu. Tetapi untuk saya, sebab utama saya memilih jalan ini adalah kerana faktor dalaman.

Semoga Engkau memberikan aku kekuatan untuk tsabat sehingga aku bertemu denganMu. Sungguh, syahid itu cita-cita tertinggiku. Ameen.Justify Full


2. Debate: Does God exists?


Balik je dari jauhlah, saya jatuh sakit. Selepas sehari dua recovering, saya ‘penat’ berehat dan mahu bergerak sebab cuti semakin pendek. Lalu saya memilih untuk ke Sydney, pada asalnya mahu ke UNSW untuk menghadiri debat di antara Muslim dengan Atheist. Pengalaman yang sangat menarik, memandangkan uni saya sudah dua tahun tak menganjurkan Islamic Awareness Week. Kalau ada, insyaAllah saya mahu menjadi orang yang terkehadapan kerana minat saya yang tinggi terhadap Comparative religions dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Secara keseluruhannya, Bro Uthman Badar mewakili Muslim terlalu banyak bergantung kepada petikan kata-kata orang lain dan slides presentation. Terlalu kering kerana penuh dengan fakta-fakta saintifik yang rumit untuk difahami oleh orang yang tidak mempunyai basic theory of knowledge, falsafah dan theology. Kadang-kadang terlalu complicated dan tak sampai mesej dan isi penting kerana beliau terlalu cepat mengejar masa. Pada pendapat saya, cara terbaik adalah menerangkan dengan bahasa yang mudah, ringkas, menggunakan ayat sendiri yang senang difahami dan mudah menyentuh hati.

Dan antara kesilapan terbesar adalah dengan tidak mengemukakan satu pun ayat al Quran sebagai hujah, sedangkah that should be the first and foremost dalil ketika berhadapan dengan bukan Muslim. Kesemua hujah yang lain boleh dipatahkan dengan mudah, tetapi yakinlah ayat al Quran adalah sangat istimewa dan dengan mengemukakan hujah teragung ini, membuktikan keyakinan kita adalah benar, insyaAllah manusia dengan batasan ilmu dan akalnya pasti tidak terlawan.

Mungkin banyak yang boleh dipelajari melalui arwah Bro Ahmad Deedat. Dalam berdebat, al Quran adalah sumber pertama dan isi penting untuk berhujah.

Tetapi secara keseluruhannya, (mungkin bias sedikit), Muslim wins over the Atheist. Banyak sebab.

Pertama, Alan Zeino, bekas Presiden Persatuan Atheist tidak menggunakan pentas ini untuk berdebat, tetapi lebih kepada 'perkongsian pendapat'.

Kedua, beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak kenal Islam dan keliru dengan info daripada media barat, dan mempunyai persepsi stereotype terhadap Muslim secara general. Tidak mengenali lawan dan latar belakang membuatkan kebanyakan isi yang diutarakan tidak ‘bertembung’ dan sepertinya, tiada isu tentang hal itu. Dan banyak isu ‘based on judgemental opinion’.

Ketiga, kebanyakan isi yang beliau utarakan hanyalah ‘based on his own opinion’. Apabila ada hadirin bertanya tentang fakta sains (eg teori evolusi), beliau tak dapat mengemukakan contoh dengan yakin.

Keempat, beliau menjadi atheist kerana terpengaruh dengan buku yang dibacanya tentang teori evolusi, ditambah dengan pengalaman dibesarkan dan disekolahkan di sekolah Christian. No offense, beliau sangat banyak mengutuk Christian sehingga saya terfikir, kemungkinan yang sangat besar bahawa beliau mempunyai pemikiran bahawa kesemua agama sama. Isu pluralisme. Sangat menarik untuk dikupas, saya pernah menulis tentang hal ini tetapi belum berkesempatan untuk publish post yang menarik ini. InsyaAllah suatu hari nanti.

He also said, ‘Religion makes people made bad decisions’. So, how we’re going to prove them that Islam isn’t like that? This question is open for us to think through. Just remember, action speaks louder than words.

Alhamdulillah dapat banyak sangat belajar. It was a very interesting event and a worthwhile journey.


3. Daurah Jihad Nusantara & Petunjuk Sepanjang Jalan


Banyak point menarik, siri penggalian kisah-kisah dakwah yang berkembang di Nusantara suatu ketika dahulu. Kisah sejarah yang ditenggelamkan, disembunyikan dan dihilangkan dari buku teks sejarah entah kenapa. Mungkin ada konspirasi di sebalik silibus sejarah hari ini, cubaan men’sekular’kan Islam daripada cerita tanah air. Sehingga timbul kekeliruan tentang semangat kebangsaan yang mana patut diutamakan.

Cerita sejarah memang dari dahulu sentiasa menarik. Ayah saya seorang guru Sejarah. Apabila ayah mengajar, dia bukan sahaja bercerita tentang apa yang ada di dalam buku itu, malahan lebih lagi. The hidden truth, unspoken for decades, even perhaps, hundred years. Sejarah Islam yang disembunyikan, supaya perasaan bangga dan ‘izzah dengan Islam pudar. Tercapai lah matlamat penjajah untuk melenyapkan kemegahan itu dengan cara ‘Divide & conquer’. Sehinggakan generasi hari ini kebanyakannya tidak tahu menahu kewujudan khalifah suatu ketika dahulu, dan itulah sejarah kita. Kita yang lahir sebagai seorang Muslim sebelum seorang Melayu, Cina, Mamak, Bajau atau Indonesian. Kita yang lahir sebagai seorang Muslim sebelum menjadi seorang doktor, jurutera, guru, peguam dan arkitek. Sebagai seorang Muslim sebelum menjadi seorang anak, kawan, isteri, suami, ibu dan bapa.

Tujuan dilenyapkan sejarah itu adalah untuk melahirkan generasi buta sejarah yang akan mengulangi kesilapan yang sama, hanyut dengan prioriti dunia mengatasi akhirat, lupa yang kita akan kembali menghadapNya. Tidak tahu menahu bahawa tanggungjawab mengembalikan khalifah Islam itu adalah wajib kerana Islam adalah amanah Allah untuk kita bawa, sebarkan dan seru supaya keseluruhan alam ini patuh dan tunduk kepada yang HAK, Allah Azzawajalla.

Betapa ramainya manusia yang hanyut pada hari ini. Jikalau ada yang terpelihara, ramai yang memilih untuk beku dan diam, baik seorang-seorang. Memang benar, kita akan mati seorang-seorang. Tetapi adakah akan sampai Islam itu kepada kita pada hari ini andai kata tiada generasi yang menyampaikan, menyeru dan berdakwah kepada nenek moyang kita? Adakah cukup dengan mentarbiyah diri dan keluarga? Adakah itu yang Rasulullah SAW lakukan? Betapa ramainya yang mementingkan sunnah Nabi SAW yang kecil-kecil seperti menyimpan janggut, berserban dan lain-lain, tetapi terlupa bahawa sunnah terbesar yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah berdakwah, menyeru kepada kebaikan (akidah yang bersih) dan mencegah kemungkaran. Andai kata cukup kita beramal dengan diri sendiri, apakah layak kita bandingkan dengan para sahabat Nabi SAW yang kubur mereka merata-rata di seluruh pelusuk dunia kerana usaha dakwah yang dijalankan oleh mereka?

Dalam sibuk mentarbiyah diri, melaksanakan kewajipan Allah dan sunnah Nabi SAW, dan bertahajud, jangan dilupakan dakwah yang terancang. Di situlah perlunya jemaah. Musuh Islam terus merancang dengan sistematik, untuk terus menghanyutkan kita atau paling tidak pun mem'beku'kan potensi kita. Andai kita memilih untuk baik seorang-seorang, apakah kita sama dengan golongan yang memperbaik orang lain dan berusaha mengembalikan khalifah dengan dakwah, tarbiyah dan jihad? A point to ponder for a while.



Daurah PSJ tak dapat saya pergi kerana terlalu penat pulang dari Sydney terus ke daurah serta keadaan kesihatan yang kurang baik. Tetapi disebabkan PSJ sedang ditelaah oleh saya, alhamdulillah kebanyakan isi penting dapat difahami, setelah diceritakan semula daripada sumber kedua. Ulasan boleh dibaca dalam post siri Seerah & Merdeka.


4. Perbezaan jemaah ke arah matlamat yang satu


Saya menyedari tentang hal ini sejak sekian lama, tetapi saya memilih untuk berdiam dan memerhati. Saya telah bertanya, memerhati gerak kerja, duduk sama melihat hasilnya. Saya mencari dan menyelidik. Kesemua jemaah mahu yang terbaik, mahu menuju ke arah matlamat yang satu. Malahan bahan yang digunakan kebanyakannya sama, cuma cara kerja dan method yang berbeza sedikit. Juga hasilnya yang berbeza, dan kadangkala agak ketara bezanya.

Saya belum lagi sampai ke peringkat perlu untuk memilih yang mana satu untuk beramal jamie. Saya belum memutuskan lagi kerana masih banyak yang perlu saya belajar dan beramal dengan Islam itu sendiri. Tetapi saya akan terus memerhati dan tidak berhenti. Because action speaks louder than words.

Mungkin, kecenderungan saya kepada satu-satunya jemaah kerana saya melihat sendiri bagaimana mereka bekerja, berkorban dan berusaha untuk menyentuh hati mad’u. Bagaimana mereka beramal sendiri dengan apa yang mereka seru, bagaimana mereka menjaga batas pergaulan, ukhwah, aurat dan kehidupan Islam yang syumul yang cuba dipraktikkan. Serta perancangan sistematik, terancang dengan matlamat yang jelas, berterusan dan tidak akan habis hanya di sini, di Australia. Kerana kita hidup bukan untuk hari ini, tetapi untuk hari depan dan hari berhadapan dengan Tuhan.

I tell you so that all of you know; I am now observing on how you're working towards the goal.

------------

Tinggal sehari sebelum cuti habis. Buku medik, lecture notes, past exam papers, clinical case reports dan PBL notes menunggu masa untuk dilayan oleh saya. Perjalanan semakin sukar, jalan masih panjang, duri semakin tajam dan bermacam. Tetapi saya bertekad untuk melaluinya semampu diri saya. Andai saya jatuh sekalipun, saya akan berusaha sebaiknya untuk bangkit kembali.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan saya dan kawan-kawan yang akan menghadapi hari-hari yang sibuk menjelang peperiksaan akhir sem. Dan moga-moga penat saya ini dikira sebagai ibadah, insyaAllah. Ameen ya Rabbalalamin.


“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” [Al-Anfaal 8:24]


Allahua’lam.

terima kasih




Bismillahirrahmanirrahim…



My last post was a controversial one. It had successfully brought up reaction among my few readers.



Pertama, terima kasih kepada semua yang prihatin, menegur dengan ikhlas. Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang sesuatu yang saya terlupa. Bahawa erti hidup ini adalah dengan memberi. Dan Allah SWT tidak akan menguji seseorang hambaNya di luar batasan kemampuan untuk menanggungnya.


Kedua, Alhamdulillah kerana Allah SWT mengurniakan teman dan sahabat yang prihatin dan sudi menegur dan berkongsi cerita. Terima kasih sangat-sangat. Terima kasih sekali lagi ke atas semua reaksi, teguran dan nasihat yang diberikan melalui ruangan komen, emel, blog post, kata-kata nasihat secara langsung mahupun tidak. Dengan rendah hati, saya menerima kesemua teguran itu dengan baik, Alhamdulillah.


Dan mungkin ketika itu saya terlupa. Mungkin saya diuji sebegini, kerana sebenarnya saya mampu untuk menanggungnya, memikulnya dan tidak berkeluh-kesah dengan kesempitan yang saya lalui. Dan sungguh, pada tiap-tiap kemuncak kesempitan, pasti ada jalan keluar. Pasti. Seperti mana yang Tuhan janjikan. Dan saya percaya yang itu. Dan kerana itu saya masih mampu berdiri dan tersenyum kembali.



Semoga Allah terus memberikan saya kekuatan untuk melalui liku-liku yang sempit ini. Kerana tali harapan itu masih ada, pada Dia yang Maha Agung.


Ketiga, saya merasakan peri pentingnya untuk semua pembaca mengetahui bahawa saya manusia yang tidak sempurna, didatangkan dengan pakej emosi bercampur baur. Ada ketika tatkala iman menurun, dan nafsu menguasai, saya tewas. Mungkin berkali-kali, banyak sekali. Dan syaitan tidak pula berhenti menghasut saya dengan bisikan yang mengapi-apikan emosi yang kurang stabil ini.


Pentingnya untuk semua pembaca faham dan tidak meletakkan ‘expectation’ terlalu tinggi kepada saya. Saya sangat dan teramat takut jikalau ada di kalangan pembaca yang menganggap kesemua apa yang saya tulis di blog ini menunjukkan bahawa saya manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang mengetahui siapa saya yang sebenarnya. Dan sungguh, setiap kata-kata yang ditulis ini adalah saksi, dan sangat-sangat benar apa yang diperkatakan itulah yang diuji ke atas saya yang lemah dan kerdil ini. Kebanyakan tulisan dan seruan saya ini sebenarnya adalah untuk peringatan kepada diri saya ketika lupa diri pada masa hadapan. Ia adalah cermin dan refleksi ke atas apa yang pernah saya perkatakan dahulu. Ia adalah muhasabah bagi saya. Dan saya tidak mampu untuk memenuhi selera dan expectation pembaca kerana tulisan dan seruan di dalam blog ini sebenarnya adalah untuk diri saya sendiri, terutamanya.


Keempat, saya menerima semua teguran dengan baik dan lapang dada. Tetapi masih ada beberapa prinsip asas hubungan dengan manusia yang saya percaya dan hormati. Dan kerana terjadinya beberapa peristiwa yang mengkhianati prinsip inilah yang membuatkan saya berang dan kecewa. Dan saya percaya setiap dari kita mempunyai hak untuk merasa marah dan kecewa, cuma bagaimana kita salurkan kemarahan dan mengatasi masalah yang menjadi punca kita marah itulah yang perlu diperhatikan.


Di atas prinsip inilah yang menyebabkan saya melepaskan perasaan saya di dalam post sebelum ini, tetapi secara terkawal dan umum. Saya tidak melepaskannya secara zahir kerana merasakan tidak perlu, dan saya lebih suka berhadapan dengan masalah ini secara rasional, tatkala emosi dan bau-bau amarah itu telah pudar.



Oleh itu, jika pembaca tidak suka saya melahirkan perasaan ini kerana menganggap seorang ‘yang baik’ tidak patut begini atau begitu, tidak patut marah, sedih atau kecewa, mungkin anda akan ended up kecewa dengan saya. Pertama saya tidaklah sebaik yang seperti yang pembaca expect. Kedua saya menulis apa yang saya rasa, dan bukan sepanjang masa saya merasa gembira, tenang dan tenteram. Ada masa-masanya saya rasa sedih, kecewa, marah dan takut, dan dalam banyak masa saya tidak melahirkannya di blog ini kerana merasa tidak perlu. Tetapi ada masanya saya melahirkannya kerana saya hanyalah seorang MANUSIA biasa, bukan MALAIKAT. Saya boleh menulis banyak yang menggambarkan bahawa seolah-olah hidup saya mudah dan sempurna, tetapi hakikatnya realiti tidak sama dengan teori. REALITInya, memang ada waktu kita akan merasa marah, sedih dan kecewa dengan tindakan manusia lain. Dan kita akan banyak belajar dengan mereka yang membuat kita merasa perasaan ini. Mereka lah guru kehidupan kita sebenarnya. Itu yang saya belajar.


Walau apa pun, terima kasih sangat-sangat. Teguran dan nasihat yang diberi bersama dengan roh kasih sayang lillahitaala itu lah akan menjadi saksi di hadapan Tuhan kelak, insyaAllah.



"When things get tough, only the tough gets going"



Allahua'lam.

Wednesday, September 23, 2009

dilema


Bismillahirrahmanirrahim...
Justify Full

Kadang-kadang terfikir, kalau kita jadi terlalu baik, ramai orang lain akan suka ambil kesempatan. Lalu ikhlas di situ jadi tak bertempat sangat. Boleh jadi baik, tapi takut-takut kena pijak kepala kalau baik sangat.

Saya tak suka meminta. Tapi tolonglah faham. Orang yang faham tak akan tahu guna saja, tapi tahu macam mana nak meringankan beban saya. Walaupun saya tak suka meminta, tetapi saya sangat-sangat menghargai orang yang faham dan cuba untuk memberi walaupun sedikit, tanpa perlu saya minta.

Ini tidak.

Saya sangat tak suka tersepit dalam keadaan sebegini. Hanya Allah yang mampu berikan saya kekuatan berhadapan dengan orang seperti ini.


Hadith Ibn Umar Radhiyallahu 'anhuma,
“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu” (Al-Tirmidhi 2507, Ibn Majah 4032)


Tolonglah faham, saya bukanlah orang senang. Setiap hari saya bukanlah bertambah kaya, malahan sebaliknya. Tolonglah faham sahabat-sahabat sekalian.



Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada ditindas oleh orang-orang yang zalim. Kurniakanlah kepadaku kesabaran yang baik, cukupkanlah rezekiku dan ampunilah dosa-dosa kami...
Ya Allah, kepadaMu lah tempat aku mengadu lemahnya daya upayaku tanpa kekuatan daripadaMu...


Allahua'lam.

Monday, August 31, 2009

part i - seerah dan merdeka



Bismillahirrahmanirrahim...


Bersempena merdeka kali ni, saya ingin flashback seerah Nabi SAW seketika.

1) Pengaruh kebangsaan

Rasulullah SAW membawa dakwah Islam ketika tanah Arab yang paling subur dan kaya itu tak dikuasai oleh orang-orang Arab, malah dikuasai oleh bangsa-bangsa lain (Rom dan Parsi).

Kita semua maklum tentang kisah kebijaksanaan Nabi SAW menyelesaikan masalah mengenai Hajar Aswad di kalangan suku-suku Arab yang pelbagai. Kesemuanya berpuas hati dengan penyelesaian yang dikemukakan oleh baginda SAW, kira-kira 15 tahun sebelum baginda dilantik sebagai Nabi. Baginda SAW juga mempunyai pengaruh keturunan dan berkedudukan tinggi di kalangan Bani Hasyim.

Kebijaksanaan dan pengaruhnya mampu 'menyatukan' bangsa Arab, dan andai kata baginda SAW mahu menggunakan cara ini untuk menyatukan mereka di bawah nama semangat kebangsaan, sangat-sangatlah akan diterima oleh bangsa Arab. Malahan dengan cara ini, mungkin baginda mampu pula untuk menebus tanah Arab daripada empayar Rom dan Parsi sebab orang Arab sangatlah hebat berperang. Boleh ditubuhkan Negara Nasional Bersatu Arab ketika itu.

Setelah itu, baginda SAW bolehlah berdakwah. Setelah diangkat menjadi pemimpin Arab, maka mudah sedikitlah untuk baginda menyeru orang bawahannya untuk tunduk kepada kalimah Laa Ilahaillallah.

Tetapi kenapa Nabi SAW tidak menggunakan pengaruhnya untuk membawa manusia kembali kepada Tuhan? Kenapa terus diseru kepada kalimah tauhid ini sehinggakan baginda dicerca sebegitu dahsyat, dirinya diancam nyawa serta pengikutnya disiksa hebat?

Apakah Nabi SAW tidak bijak -- seperti kita-kita pada hari ini yang bercita-cita untuk mendirikan 'negara dan undang-undang Islam', barulah kita mudah berdakwah dan mengajak manusia kepada Tuhan?



2) Pengaruh sosial

Rasulullah SAW membawa agama ini ketika masyarakat kacau dan tak teratur, penindasan berleluasa, kekayaan dikaut oleh golongan atasan yang sedikit, manakala golongan majoriti adalah yang miskin dan tertindas.

Dengan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi SAW, baginda mampu untuk mengajak manusia lain untuk membuat revolusi sosial dengan menghapuskan golongan bangsawan yang minoriti ini, lalu menyusun semula kekayaan masyarakat secara adil. Sudah tentu, golongan majoriti ini akan menyokong usaha baginda, malahan golongan bangsawan tak akan mampu menentang kerana mereka adalah minoriti.

Selepas berjaya membuat revolusi ini, bolehlah dakwah dijalankan ke atas penyokong-penyokong revolusi sosial ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan majoriti. Maka mudahlah dakwah ini bergerak seiring dengan kekuasaan yang dipegang oleh Nabi SAW.

Tetapi, kenapa bukan ini cara yang dipilih oleh Nabi SAW? Kenapa perlu bersusah payah menyeksa diri demi menyampaikan kalimah tauhid kepada bangsa Arab Quraish ini? Kenapa tidak ber'strategi' dalam berdakwah? Revolusi sosial dulu, baru dakwah?



3) Pengaruh moral

Rasulullah SAW diangkat menjadi Nabi ketika nilai moral di tanah Arab rosak dengan jahiliyah yang pekat, bukan sedikit-sedikit. Penindasan, kekejaman, semangat asabiyah sampai sanggup berbunuh-bunuhan, penganiyaan, pelanggaran hak orang lain, minuman arak dan judi berleluasa, pelacuran diangkat sebagai tradisi kebanggaan masyarakat jahiliyah ini. Kesimpulannya, memang rosak habis!

Baginda SAW boleh mencuba memperbaiki keadaan ini dengan menjalankan reformasi dan seruan kepada pembaikan moral masyarakat. Baginda boleh mengajak beberapa orang tertentu yang telah dirosakkan oleh masyarakat jahiliyah ini, lalu membimbing mereka seperti mana yang selalu dilakukan oleh tokoh reformasi yang lain.

Kalau baginda buat begitu, tentu akan disanjung oleh sebahagian besar orang yang masih suci moral dan jiwanya. Lalu semakin mudah untuk diajak kepada kalimah La Ilahaillallah. Tambahan pula mereka adalah golongan yang masih suci jiwanya.

Tetapi kenapa bukan cara ini yang baginda SAW pilih? Kenapa perlu direct mengajak manusia kembali mengenal Tuhan yang Mencipta mereka, walhal dengan itu baginda dibenci oleh ramai termasuk kaum kerabatnya sendiri.

------

Cuba lihat realiti hari ini yang berlaku di tanah air tercinta.

Saya lihat, ramai Muslim yang berkobar-kobar mahu mendirikan negara Islam. kebanyakannya faham kepentingan negara Islam wujud, dan hak Allah ditunaikan. Ramai yang menyangka, dengan menguasai pemerintahan dan pentadbiran, kita akan mudah untuk melaksanakan undang-undang Islam, dakwah dan insyaAllah banyak kemungkaran boleh dihapuskan.

Benarkah? Kalau begitu, kenapa Nabi SAW tak menggunakan cara yang sama untuk mencapai tampuk pemerintahan itu demi berjalannya dakwah? Kenapa Nabi SAW tak menggunakan pengaruh bangsanya, keadilan sosial serta pengaruh nilai moral yang tinggi untuk menjadi pemimpin, sebelum mengajak manusia kembali kepada Allah?

Was there something that we're missing? A big loophole indeed?


to be continued...